Bumiputera diidentitikan menerusi perlembagaan



Identiti rakyat Malaysia yang terbahagi kepada bumiputera dan bukan bumiputera, atau pribumi dan bukan pribumi, adalah identiti yang dibina secara berperlembagaan. Pihak yang mempertikaikan hakikat ini adalah kelompok yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan.

Kelompok yang mempertikaikan identiti ini adalah segelintir individu bukan bumiputera yang berusaha untuk membina identiti yang baru. Ada juga golongan bumiputera, terutamanya orang Melayu, yang apologis dan beranggapan bahawa perjuangan mempertahankan identiti bumiputera adalah perjuangan perkauman.

Kedua-dua kumpulan ini boleh disinonimkan dengan para pendukung konsep Malaysian Malaysia pada tahun 1964 atau disinonimkan dengan imperialis Inggeris yang memperjuangkan konsep Malayan Union pada tahun 1946.

Konsep Malaysian Malaysia diperjuangkan oleh sekelompok etnik Cina yang menjadi warganegara Malaysia. Konsep Malayan Union diperjuangkan oleh pihak penjajah Inggeris.

Kedua-dua konsep ini menjadikan Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu, masyarakat bumiputera, Bahasa Melayu, dan lain-lain aspek sosio-ekonomi serta nilai dan budaya Melayu dan bumiputera sebagai sasarannya.

Ini bermakna konsep Malaysian Malaysia adalah disasarkan kepada orang Melayu dan bumiputera serta seluruh komponen identiti mereka. Usaha ini sama seperti yang cuba dilakukan oleh konsep Malayan Union.

Menurut Malik Munip (1981), jika konsep Malayan Union diperjuangkan oleh pihak kolonialis. Konsep Malaysian Malaysia pula diperjuangkan oleh sekelompok individu tempatan yang mempunyai kerangka pemikiran kolonialis.

Konsep Malaysian Malaysia pernah disinonimkan dengan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura sewaktu republik itu menjadi sebahagian wilayah Malaysia mulai 16 September 1963 hingga 8 Ogos 1965.

Pada ketika itu Lee menjadi Setiausaha Agung PAP, parti politik yang diwujudkan di Singapura pada 21 November 1954. Menurut Lau (1998:22), PAP adalah parti politik berhaluan kiri yang mendukung fahaman sosialisme demokratik.

Vasil (1984:26) menjelaskan, PAP berhaluan kiri kerana anggotanya pada ketika itu adalah gabungan antara individu berpendidikan Inggeris yang mendukung aliran sosialisme demokratik dan kelompok berpendidikan Cina yang pro-komunis.

Chan (1976:10) pula menegaskan, perkembangan pesat PAP dalam tahun 1950-an adalah disebabkan oleh perikatannya dengan puak-puak komunis yang memberikan keupayaan di bidang organisasi dan mobilisasi politik. PAP terpaksa berhaluan kiri untuk memelihara barisan bersatunya dengan puak yang pro-komunis.

Oleh sebab itulah PAP pada ketika itu memperjuangkan supaya bahasa Cina dan bahasa Tamil diberikan status rasmi seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. PAP juga mendesak kewujudan hak-hak kewarganegaraan yang sama bagi seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, bahasa dan agama (Vasil, 1984:30).

Matlamat perjuangan PAP pada ketika itu adalah serupa dengan objektif konsep Malaysian Malaysia. Ghazali Ismail (1990:11) menyatakan, intisari konsep Malaysian Malaysia adalah: seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, berhak memperolehi layanan yang sama, berhak menuntut hak yang sama, berhak menikmati apa jua keistimewaan yang sudah diberikan kepada orang-orang Melayu.

Ini bermakna, etnik bukan Melayu wajar mendapat status istimewa seperti orang Melayu (Perkara 153), agama mereka perlu diberikan taraf seperti Agama Islam yang menjadi agama rasmi Persekutuan (Perkara 3), dan bahasa Cina serta bahasa Tamil pula hendaklah diberikan taraf seperti Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan (Perkara 152).

Berasaskan huraian di atas, salahkah bagi orang Melayu dan bumiputera mempertahankan identiti mereka yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan? Wajarkah tindakan sesetengah bukan Melayu dan bukan bumiputera untuk meminta identiti mereka yang berasaskan kaum pendatang disamaratakan dengan identiti orang Melayu dan bumiputera? Tidakkah usaha seperti ini merupakan usaha mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan?

Dan, patutkah wujud kelompok Melayu apologis yang beranggapan bahawa perjuangan mempertahankan identiti Melayu dan bumiputera adalah perjuangan perkauman, sementara perjuangan bukan Melayu dan bukan bumiputera yang mempertikaikan identiti Melayu dan bumiputera adalah tindakan yang selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat?

Fikir-fikirkanlah!