Petua Untuk Hidup Bahagia

Apakah petua mudah untuk hidup bahagia itu?

Petuanya ialah, “INGAT 2 Perkara, LUPA 2 Perkara” ;

INGAT (1)

Ingatlah kebaikan orang kepada kita. Syukur dengan kebaikan yang diterima. Hargai dan ingati selalu.

LUPA (1)

Lupa-lupakanlah kebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa jua. Jangan diungkit-ungkit. Jangan disebut-sebut.

INGAT (2)

Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Istighfar selalu. Minta maaf pada dia, pohon ampun pada Allah.

LUPA (2)

Lupa-lupakanlah keburukan dan kesalahan orang lain kepada kita. Walau hati terluka, lupakan sajalah. Maafkan dia.

Kalau dapat amal petua “INGAT 2, LUPA 2″ ni, insyaAllah saya jamin, anda akan dapat hidup lebih bahagia. InsyaAllah, sama-samalah kita amalkan.

Ibu, Kiranya Kau Tahu...


Ibu…
Akulah zigotmu…
Yang terhasil dari sperma dan tersenyawa
Akulah embriomu…
Yang menempel pada uterusmu yang suci
Akulah fotusmu…
Yang tak sabar menjengah bumi…
Dan akulah ibu…
Lambang jirim kasihmu yang abadi.


Tangisku ibu…
Kau reda dengan nasihat terpuji
Gelakku ibu…
Kau sambut denagn nilai- nilai murni
Nakalku ibu…
Kau sulam dengan akhlak muslimah sejati
Dengan hipotesis yang kau ciptakan ibu
Kau mengharapkan hidupku penuh variasi islami.

Tetapi ibu…
Dewasanya anakmu ini tanpa sezarah harga diri
Tanpa lagi atom- atom syahadah
Tanpan lagi molekul- molekul peribadi yang luhur
Tanpa lagi ion- ion keimanan.

Ibu…
Dengan alasan berdikari
Kujejakkan kaki ke bumi metropolitan
Hidupku tak ubah seperti gerakan Brown.
Bebas! Rawak! Tanpa hala tuju.
Yang ku impikan ibu…
Hanyalah sinaran pantulan- pantula neon yang bercahaya
Yang ku rindukan ibu…
Hanyalah kerlingan mata keranjang si buaya.
Aku bangga menjadi pilihan pria- pria kota
Hingga ku lupa hamparan sejadah
Hingga ku lupa pesanmu ibu.

Dahulu ibu… Mataku buta dengan lambaian masjid
Tetapi galak dengan lambaian disko
Telingaku pekak dari alunan dan laungan ayat- ayat suciNya
Tetapi peka dengan alunan muzik yang mengasyikkan
Hidungku hilang deria bau wangian Firdausi
Tetapi tajam dengan bauan alkohol yang memabukkan
Lidahku seakan kelu untuk melafazkan zikir dan munajat
Tetapi, petah mencaci dan memaki.

Tetapi kini ibu…
Kiranya kau tahu…
Kurasakan gentar menyelubungi siangku
Rantaian dosa- dosa silam menyelimuti malamku
Aku takut ibu…
Aku takut… dengan serulis Israfil
Aku takut… dengan sentakan Izrail
Aku takut dengan cemeti munkar dan Nankir
Aku takut!!!

Tetapi kini ibu…
Kiranya kau tahu…
Anakmu ini tidak lekang dari tempat sujudNya
Bibirku basah dengan kalimah suci
Mataku tersasar ke arah QiblatNya
Telingaku dirakum dari umpatan cela…
Meluruhkan dedaun dosa
Digantikan bebunga pahala.

Kiranya kau tahu ibu…
Betapa anakmu ini dipalit rasa sesal
Hingga ke akhirnya…

Perlukah Pendidikan Seks?


Apakah Tujuan Pendidikan Seks

Tujuan utama pendidikan seks adalah untuk menyedarkan remaja tentang implikasi hubungan seks sebelum berkahwin dan supaya mereka berkata ‘TIDAK‘ kepada seks sebelum berkahwin. Kajian yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1997 membuktikan bahawa pendidikan seks telah melambatkan usia remaja untuk melakukan hubungan seks sekali gus menurunkan kadar perlakuan seks, kehamilan luar nikah di kalangan remaja, pengguguran bayi, selain meningkatkan penggunaan kondom.

Tidak dinafikan elemen yang perlu diketengahkan dalam pendidikan seks (organ reproduktif, mengandung, masa depan yang gelap, tekanan mental, HIV dan penyakit kelamin) telah diterapkan di dalam subjek Biologi, Sains, Moral, Agama dan Pendidikan Kesihatan di sekolah walaupun tiada subjek khusus bernama Pendidikan Seks.

Persoalannya ialah sejauh manakah keberkesanan pendidikan seks tersebut? Jika usaha yang ada sekarang dilabelkan sebagai kurang berkesan, apakah faktor yang mendalanginya serta apakah langkah untuk mengatasi kekurangan yang ada?

Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mengakui ketidakyakinan guru untuk mengajar pendidikan seks kerana kekurangan latihan dalam bidang tersebut. Sememangnya elemen seperti pencegahan kehamilan, komplikasi kehamilan remaja, pengguguran bayi, penyakit HIV dan penyakit jangkitan alat kelamin adalah topik perubtan yang semestinya agak sukar untuk disampaikan oleh mereka yang tidak terlatih dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Oleh itu, usaha untuk memberi latihan khusus kepada guru terlibat oleh pakar yang mahir dalam bidang tersebut untuk meningkatkan tahap keyakinan dan kemahiran mereka. Teknik penyampaian berkesan dengan menggunakan alat bantuan mengajar tertentu seperti gambar juga perlu untuk membantu pelajar memahami dan menghayati perkara yang disampaikan.

Kementerian Pendidikan disarankan agar bekerjasama kengan Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang telah mempunyai modul khas dan telah biasa menjalankan program pendidikan seks dan reproduktif kepada remaja. Program yang telah sedia ada di sekolah seperti Kelab Kesihatan Sekolah dan Doktor Muda harus dimanfaatkan untuk mendapatkan khidmat kakitangan kesihatan bagi menyampaikan pendidikan seks di sekolah.

Walaupun sebahagian besar masa remaja dihabiskan di sekolah, ibu bapa juga memainkan peranan yang amat penting. Di samping memantau tingkah laku anak-anak, ibu bapa juga disarankan untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan pendidikan seks. Paling penting, masyarakat harus sedar pendidikan seks jangan disalah tafsir sebagai mendidikan anak tentang kaedah melakukan hubungan seks tetapi pendidikan seks menekankan kaedah agar mereka menjauhi hubungan seks sebelum berkahwin.

Gelap Dalam Limpahan Cahaya



"Bagaimana pandangan awak tentang remaja kita yang terlanjur?”
“Apa maksud terlanjur?” saya menyoalnya kembali.
“Terlanjur melakukan hubungan seks haram,” balasnya terus-terang.
“Bagi saya istilah terlanjur itu tidak tepat.”
“Apa istilah yang lebih tepat?”
“Berzina!” jawab saya pendek.

Lelaki itu kehairanan lalu mencebik seraya berkata, “kasar sangat bunyinya tu. Nanti remaja yang terlanjur takut.”
“Mereka tidak akan takut. Mereka berani. Sebab mereka beranilah mereka berzina.”
“Lagi-lagi awak gunakan istilah zina. Kasar sangat bunyinya tu.”
“Itu istilah yang tepat. Itu istilah Al Quran. Jika digunakan ada impak pada pendengarnya. Kita teringat Allah, Al Quran, iman dan Islam.”

Dia diam. Tetapi riak mukanya jelas seakan tidak bersetuju.
“Saya rasa istilah terlanjur itu yang tidak tepat,” saya pula yang menerjahnya.
“Eh, kenapa? Memang mereka terlanjur. Mereka tidak tahu akibat perbuatan mereka.”
Saya tersenyum. Lucu. Kenyataan yang separa logik.
“Zina tidak berlaku tiba-tiba. Ia didahului oleh mukadimah-mukadimahnya,” balas saya.

“Ai, zina pun ada mukadimahnya?”
“Itulah perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan yang boleh membawa zina. Zina itu adalah hasil daripada satu proses yang berlaku satu demi satu. Tingkat demi tingkat.”
“Saya tak faham. Cakap awak berbelit-belit!”
“Saya hanya menerangkan apa yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.” jawab saya pendek.

“Kita jangan libatkan agama. Ini masalah sosial,” katanya terus-terang.
“Saya dan awak orang Islam. Islam tu cara hidup. Dan Nabi Muhammad adalah teladan ikutan kita bersama.”
“Baik-baik. Teruskan…”
“Zina itu ada mukadimahnya. Antaranya, pandangan mata, lidah yang berkata-kata, sentuhan tangan, deria bau melalui hidung dan akhir sekali barulah melibatkan kemaluan.”
“Ok. Apa maksud awak?”

Saya renung matanya. Dia bukan orang awam biasa. Dia seorang intelektual yang sering membentangkan kertas kerja tentang masalah sosial remaja di seminar-seminar di IPT.
“Zina dimulakan dengan pandangan. Pandangan mata sangat mempengaruhi hati. Bila pendedahan aurat berleluasa, remaja sukar menjaga mata. Bila ada yang mendedahkan, ramai pula yang melihatnya dan dari situ timbullah rangsangan…”
“Habis awak nak semua wanita tutup aurat? Mustahil!” balasnya.

“Ya, saya akui agak sukar. Tetapi itu tidak mustahil. Bukankah ini ajaran Islam? Islam itu ajaran yang praktikal dan sesuai untuk semua zaman dan keadaan. Remaja perempuan tutup aurat. Remaja lelaki tundukkan pandangan. Jadi, satu proses ke arah zina telah diatasi. Ini yang dilakukan oleh generasi sahabat, tabiin dan salafussoleh dahulu.”
“Itu dulu. Langit masih tertutup, sekarang langit sudah terbuka!”
“Bukan masalah langit, terbuka atau tidak. Tetapi yang lebih penting hati kita mesti terbuka untuk menerima panduan Islam kerana kita orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Hari akhirat.”
“Lagi-lagi akhirat. Sekarang kita bercakap soal dunia. Masalah dunia. Kita di sinilah, bukan di sana.”

Tanpa sedar terasa seakan-akan hendak saya gelengkan kepala. Mujur saya cepat sedar dan hanya mengerling mata.
“Tuan, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita hidup di dunia.”
“Fasal apa pula?”
“Sebab orang yang yakin kepada hari Akhirat akan mengatur hidupnya dengan keyakinan bahawa setiap perbuatannya akan diberi pembalasan oleh Allah di akhirat. Ada pahala, ada dosa. Ada syurga, ada neraka. Itulah kawalan dari dalam dirinya untuk tidak melakukan kejahatan sama ada di hadapan atau di belakang orang!”

“Kembali kepada topik asallah. Saya tidak suka meleret-leret,” pintasnya agak kasar.
“Zina sentuhan pula ialah pergaulan bebas. Bila dipandang, tergerak untuk disentuh. Islam menyekat pergaulan bebas lelaki wanita. Tidak boleh bergaul sesuka hati apatah lagi sampai ke peringkat berdua-duaan tanpa mahram.”
Belum sempat dia menyampuk saya menambah lagi, “tetapi pergaulan bebas inilah yang terus digalakkan, dipromosikan dan dijadikan budaya dalam masyarakat kita.”
“Awak nak sekat interaksi dan komunikasi antara wanita dan lelaki? Mustahil!”

“Interaksi yang bagaimana? Komunikasi yang bagaimana? Dalam Islam cukup jelas bagaimana wanita dan lelaki boleh berinteraksi. Dalam pendidikan, dalam perniagaan, dalam perundangan dan lain-lain. Pergaulan tidak disekat, tetapi dikawal. Islam bukan anti pergaulan atau interaksi sosial tetapi menyekat pergaulan bebas tanpa batas yang menjurus kepada perlakuan seks bebas kerana adanya pandangan yang liar dan sentuhan yang di luar batas!”

“Bagaimana awak nak capai semua tu. Itu satu utopia.”
“Bukan satu utopia kalau kita bermula. Di peringkat keluarga kita cuba didik, kawal anak-anak kita. Di sekolah peranan guru-guru pula. Di IPT tentulah orang semacam awak, para pensyarah. Dalam media massa cetak dan elektronik tentulah pihak berkuasa yang memainkan peranan.”:
“Habis awak ingat semua pihak dah tak berperanan?”

“Saya bimbang… Dalam keadaan kita menjerit, melolong dan memekik tentang masalah buang bayi tetapi budaya ‘mukadimah’ zina anehnya terus diperagakan dan dipromosikan. Lihat sahaja media massa kita, kekadang di sebelah cerita buang bayi, ada gambar wanita mendedahkan aurat. Iklan apa sahaja produk, budaya bergaul bebas seperti menari bersama, dating dan bergaul bebas itulah yang diiklankan juga.”

“Awak kolot. Itu kan ada nilai komersial?”
“Saya kasihan remaja masa kini. Mereka hidup di tengah peluang untuk melakukan zina yang begitu besar dan luas sekali. Jalan ke arah zina diperluas. Tetapi jalan ke arah pernikahan halal dipersempit dengan pelbagai syarat dan adat yang tidak relevan dan signifikan.”

“Kita perlu realistik. Kita perlukan kekuatan ekonomi yang ampuh dan kukuh.”
“Dan untuk itu kita perlu membayarnya dengan mengorbankan maruah dan iman anak-anak remaja kita?”
“Sejak tadi saya bercakap macam mana kita nak atasi masalah buang bayi. Itu sahaja. Tetapi awak yang melencong bercakap tentang zina…”

“Tuan, masalah buang bayi ini produk kepada masalah zina. Anak yang dibuang itu hasil zina. Cegah zina, selesailah masalah buang bayi. Dan nak cegah zina perlu dicegah dulu mukadimah-mukadimah zina. Ini bukan pendapat saya. Tetapi ini ditegaskan oleh Allah dalam Al Quran apabila Allah memberi amaran dan peringatan, jangan kamu hampiri zina!”

“Awak dah mula emosi. Janganlah emosional.”
“Tuan, jika saya salah kerana beremosi. Tuan juga salah kerana tidak beremosi. Sayang, cintakan umat, membenci kemungkaran adalah soal perasaan. Ini soal hati. Ini berkait dengan iman. Tidak ada iman bagi mereka yang melihat kemungkaran tanpa rasa benci!”
“Islam menyuruh kita membenci?”
“Benci kepada kemungkaran bukan kepada yang melakukannya! Pada yang melakukannya kita perlu berdakwah, memberi didikan, memberi alternatif, dengan penuh kasih sayang dan hikmah.”

“Kalau iman kita kuat, apa sahaja yang di luar tidak mempengaruhi dalaman kita. Kita ada sistem penapis dalam atau ‘self censord’. Kita tidak perlu sekatan mahu pun kawalan.”
“Betul kah iman kita kuat? Betul kah iman remaja kita kuat? Dan satu lagi, betulkah orang yang mempunyai iman yang kuat tidak perlukan kawalan dan peraturan? Sekuat-kuat iman pun masih perlukan syariat. Bahkan mematuhi syariat itulah bukti orang beriman.”

“Apa awak cakap ni?”
“Maksud saya, benarkah iman kita kuat? Mana program yang membina iman? Memang ada sedikit, tetapi ditenggelamkan oleh program hedonisme yang berlambak-lambak. Iman itu ada bajanya, ada racunnya. Kalau kita menabur racun manakan tumbuh pohonnya, apatah lagi buahnya? Bahkan benihnya yang sedia ada pun boleh mati.”
“Banyak sangat perlambangan!”

“Dan orang yang kuat iman sekalipun masih diwajibkan mematuhi syariat atau peraturan Islam. Rasulullah s.a.w, manusia yang paling kuat iman, namun semasa menerima bai’ah daripada kaum wanita baginda sendiri tidak bersalaman dengan mereka. Isteri-isteri Rasulullah kuat iman, tetapi mereka tetap menutup aurat dan sangat menjaga pergaulan mereka sekalipun dengan sahabat-sahabat Rasulullah yang juga kuat imannya.”

“Itu sejarah.”
“Bukan. Itu bukan hanya sejarah. Sejarah itu adalah ibrah. Untuk dikaitkan dengan masa kini dan dijadikan teladan. Kita jangan gunakan akal semata-mata, tetapi gunakanlah akal dengan suluhan wahyu dan sunah.”
“Awak sindir saya?”
Tanpa memberi respons pada provokasinya saya meneruskan, “saya masih ingat dengan akal fikiranlah, dulu ada idea yang menyarankan kita agar tidak menutup pintu langit. Jangan sekat akses itu dalam Internet. Cukup dengan iman masing-masing untuk menapis pornografi. Tetapi sekarang ada idea yang menyarankan perlu disekat akses Internet yang berunsur pornografi. Masalah manusia moden bukan tak pandai… tetapi memandai-mandai.”

“Bagaimana pandangan awak tentang sekolah remaja hamil?” tiba-tiba dia pula yang mengalih tajuk perbualan.
“Baguslah. Tetapi saya tidak berminat membuang sampah di hilir atau muara sungai sedangkan ada pihak yang terus membuang sampah di hulunya!”
“Apa maksud awak?”
“Betul, remaja hamil anak zina perlu dilindungi dan dididik. Tetapi remaja yang belum hamil dan belum dinodai lebih ramai lagi di luar sana. Ramai yang bakal menjadi mangsa jika sikap dan budaya ‘mukadimah’ zina terus disuburkan. Apa gunanya kalau kita hanya mengubat akibat, jika puncanya terus dibiarkan malah diperagakan? ”

“Jadi awak setuju atau tidak?”
“Itu soalan kemudian. Yang pertama atau utama, saya ingin menyoal awak. Awak setuju atau tidak semua mukadimah zina yang ada ini dicegah? Dalam Islam kaedah ini dinamakan ‘sazdus zaraik’. Kempen tutup aurat, kempen anti pergaulan bebas dan kempen mengerjakan solat perlu diperhebat! Ini kempen ‘buka hati’ untuk hadapi langit terbuka!”
“Ei, ada kempen solat juga?”

“Ya Allah, bukankah solat mampu mencegah kemungkaran? Cuba lihat statistik berapa ramai remaja yang meninggalkan solat? Ada kajian dulu yang saya dengar sudah di tahap 80% umat Islam sudah tidak solat. Remaja kita bagaimana? ‘Retua’ yang mendidik remaja pula bagaimana?”
“Wah, awak nak cakap tentang solat pula…”

Saya diam. Berdoa. Betapa ramainya umat Islam yang tidak memahami, menghayati dan mengamalkan serta memperjuangkan agamanya. Padahal ajaran Islam itu berkait antara satu sama lain. Ada kesan berangkai yang jika diamalkan, ada kesan baik kepada bidang yang lain. Dan ada kesan buruk secara berangkai bila salah satu ajarannya ditinggalkan. Justeru, Allah telah memberi peringatan: Masuklah Islam secara keseluruhan!

Soalnya, apakah kita sudah Islam seluruh, sepenuh? Langit sejak dulu telah terbuka dengan turunnya wahyu, bukankah Islam itu agama samawi? Tetapi hati kitalah yang tertutup untuk menerima cahayanya. Apa gunanya langit terbuka, jika mata hati tertutup?

Hasilnya, hati dan diri kita tetap gelap dalam limpahan cahaya!

(Sekadar satu dialog imiginasi hasil menangani masalah tentang cinta dalam minggu ini dengan ahli-ahli Kelab Kopi-O – semoga ada manfaatnya. )

Doa Anak-anak Termakbul

Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar.

Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.

Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.

BERTAUBAT SEBELUM MELARAT

Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka?

Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka.

Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.

Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini.

Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu?

"Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."

Keistimewaan Ramadhan

RAMADAN adalah bulan mulia yang mempunyai kelebihan tersendiri antaranya:

* Ramadan penghulu semua bulan.
Diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Kabir, “Penghulu bulan ialah Ramadan dan penghulu hari ialah Jumaat.”
* Dibuka pintu syurga. Diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah: “Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.”
* Diampunkan dosa sehingga Ramadan akan datang.
Hadis riwayat Muslim yang diriwayatkan Abu Hurairah: “Solat fardu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadan kepada Ramadan, akan diampunkan di antara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa besar.”
* Ganjaran daripada Allah.
Diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah berkata: Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi.”
* Diampunkan dosa terdahulu.
Hadis ini diriwayatkan sebilangan ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim iaitu: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dalam keadaan beriman dan ikhlas (kepada Allah), diampunkan dosanya (yang terdahulu).”
* Diturunkan al-Quran.
Nabi Muhammad SAW berkata: “Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal malam Ramadan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadan dan diturunkan Injil pada 13 Ramadan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadan dan diturunkan al-Quran pada 14 Ramadan.” (al-Mu’jam al-Kabir)
* Malam Lailatulqadar.
Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu dan sesiapa yang qiamullail pada malam Lailatulqadar dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)
* Dibebaskan daripada api neraka.
“Sesungguhnya bagi Allah hamba yang bebas (daripada api neraka) setiap berbuka, dan demikian itu pada setiap malam.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sebelum Ku Pergi

SEBELUM KU PERGI
KU INTAI MIMPI SEMALAM
HARUM MEWANGI
MENYELINAP RINDU
SESEGAR MAWAR DINIHARI

SEBELUMKU PERGI
KUTABUR BUNGA IMPIAN
SEGENAP DERAP KENANGAN
BAUNYA MENGASYIKKAN
HIDANGAN RINDU BERTANDANG
MEMBASUH BERIBU KESEDIHAN

SEBELUMKU PERGI
KU TADAH BEKAS – BEKAS KELUKAAN
MENGUMPUL CALAR PERASAAN
DI SETIAP RUANG
MERAH PEKAT KEHITAMAN
PEDIH,DUKA KESAKITAN
BEKAL MEMORI MENDATANG

SEBELUM KU PERGI
INGINKU MILIKI SEMUA
HATI KUDUS MANJA
SEORANG INSAN
BERNAMA PEREMPUAN
AGAR SETIA SEPANJANG ZAMAN

SEBELUM KU PERGI
HARAP DAPAT KUHIRUP
PEMBERIAN KEMAAFAN
PENAMAT SALAM
MELABUH TIRAI
SATU PERHUBUNGAN

SEBELUMKU PERGI
INGINKU TERUS MENYAYANGI

SETELAH KU PERGI
ABADIMU SENTIASA DI HATI